Sunday, September 1, 2013

~ MENCARI KETENANGAN YANG HILANG 2 ~

Humaira' meluangkan masanya di taman. Matanya terpana melihat seorang gadis ayu bertudung labuh. Redup pandangan matanya.

"Bagaimana agaknya kalau aku bertudung labuh?",bisik hatinya.

Humaira' hanya mampu memandangan dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, dibiarkan gadis itu berlalu pergi. Dia memandang dirinya sendiri, ber't-shirt' muslimah dan berseluar trek bersama tudung bidang 45 yang dibiarkan lurus menutupi dada.

"...Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya),..." [Surah An-Nur:31]

Ingatannya menerjah pada hadiah yang pernah diberikan oleh seseorang pada ulang tahun kelahirannya yang ke-20. Sehelai tudung labuh berwarna biru tua. Hadiah itu tidak pernah digunakan lagi. Dibiarkan tersimpan rapi di dalam kotak, hatinya masih belum bersedia untuk berhijrah mengenakan tudung yang istimewa itu.

"InsyaAllah satu hari nanti. PASTI!". Humaira' memberi semangat untuk dirinya.

Buku "Risalah Hati Raja Sehari" ditutup. Humaira' melangkah pulang saat cahaya mentari semakin pudar.



Seusai solat Isyak, Humaira' menggapai Al-Qur'annya. Dia membelek helaian mukjizat itu.

"Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati." [Surah At-Tagabun:4]

Hatinya tersenyum, Humaira' percaya Allah mengetahui niat baiknya, niat untuk menggapai redha Ilahi. Tak perlu diluah, tak perlu juga diceritakan kerana Allah mengetahui segala isi hati hambaNya. Kitab suci itu dikucup lalu diletakkan di atas rak.

Humaira' bangun dan melipat tikar sejadahnya. Dia memandang dirinya dalam cermin. Humaira' kaku.
Langkahnya dipanjangkan menuju almari yang menyimpan kotak hadiah yang disimpan hampir setahun. Kotak itu dibuka, isinya dikeluarkan perlahan-lahan. Sehelai tudung labuh.

"Akak tak tahu nak beri apa pada Humaira', akak harap Humaira' suka hadiah ni. Gunakanlah hadiah ni bila Humaira' dah bersedia nanti." Kak Atikah menghulurkan sebuah kotak kecil berwarna merah jambu sambil melemparkan senyuman. 

"Wahhh... Mesti istimewa hadiah kak Atikah ni. Insya-Allah kak."Humaira' membalas tanpa banyak bertanya. Walhal hati kecilnya tidak berhenti meneka hadiah yang ada di dalam kotak kecil itu.

Lamunannya terhenti. Humaira' cuba memakai tudung labuh itu. Selesa. Humaira' tersenyum sendiri.

"Nak berubah tak susah dik, nak istiqamah yang susah. Mulakan langkah pertama, langkah lain akan menyusul", kata kak Atikah. Kak Atikah tidak pernah lokek berkongsi pengalaman. Setiap manusia pasti punya masa silamnya.

Keperibadian kak Atikah menjadi inspirasi buat Humaira'. Hatinya meronta untuk menjadi persis kak Atikah yang lembut tingkah lakunya, sopan tutur katanya. Insya-Allah pasti Allah akan memudahkan jalan untuknya.

Humaira' mencapai komputer ribanya.

28/8/2013

Aku melangkah keluar dari daerah kejahilan,
Aku berlari menuju ke daerah kebaikan.

Aku tinggalkan diriku yang dulu,
Aku mencari identiti baru.

Aku cuba kuat kerana Dia,
Aku cuba tersenyum kerana Dia,
Aku cuba bangkit kerana Dia.

Langkah ku kini ku hayunkan meraih redha Ilahi.
Mencari ketenangan yang hilang.
Semoga Allah redha.

Humaira' lena dalam dakapan impian untuk berubah menjadi lebih baik.


"Sejak bila kau bertudung labuh ni Humaira'?", sindir Maya. Dia terkejut melihat perubahan Humaira' saat dia melangkah masuk ke dalam kelas.
"Humaira', u look so nice with that hijab.", puji Tiara. Humaira' hanya mampu tersenyum.

Humaira' yakin tidak semua sahabatnya faham tentang penghijrahannya. Dia memohon keyakinan dari Yang Maha Esa. Humaira' tetap merasa bahagia kerana impiannya untuk mengubah penampilannya kini menjadi nyata.


No comments:

Post a Comment